Monday 18 July 2011

" Sedetik Bersama Jururawat"

Port Dickson , 9 Julai 2011 – Wanita ISMA cawangan Port Dickson dengan kerjasama Kolej jururawat masyarakat Port Dickson telah menganjurkan program Sedetik Bersama Jururawat bersempena Sambutan Hari Jururawat  Sedunia. Di antara objektif perlaksanaan program ini adalah untuk mengenalkan ISMA dengan lebih dekat lagi dan menjalinkan silaturrahim antara ISMA dan warga kolej jururawat. Selain dari itu, program ini juga bertujuan untuk memberi kefahaman bagaimana penghayatan konsep ibadah dalam profesion kejururawatan Islam dan juga untuk memantapkan nilai diri dan akhlak remaja.
Program bermula pada jam 9.00 pagi dengan ucapan alu-aluan oleh wakil ketua ISMA PD, Pn. Habsah Binti Abdul Shaer.  Dalam ucapannya, beliau memperkenalkan  serba sedikit tentang ISMA dan aktiviti-aktiviti yang pernah dijalankan. Seterusnya para pelajar jururawat dihiburkan dengan tayangan Multimedia yang turut memperkenalkan ISMA, I-MEDIK, PEMBINA, NAZIM dan  KRIM serta aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan.


Majlis diteruskan lagi dengan ceramah tentang Ramadhan dan Ibadah dalam Profesion Kejururawatan oleh Ustazah Hayati Md Zari selaku ketua wanita ISMA PD dan pensyarah Kolej Jururawat Murni. Beliau mengingatkan kepada para pelajar bahawa profesion kejururawatan adalah satu pekerjaan yang mulia dan jadikanlah ia sebagai ibadah disisi Allah, bukan hanya untuk mendapatkan pendapatan yang lumayan.  Mereka merupakan barisan hadapan yang berhadapan dengan pesakit dan dianggap sebagai mata dan telinga seorang doktor. Setiap jururawat perlu ikhlas, sabar dan amanah dalam menjalankan tugas yang mencabar ini.  Beliau mengakhiri ceramah dengan memberikan 10 soalan kuiz dan setiap pelajar yang berjaya menjawab mendapat cenderahati dari ISMA.
Selepas berehat seketika untuk  minum pagi, program diteruskan dengan ceramah kedua yang disampaikan oleh Dr. Nor Izam Alias, pakar perunding psikiatri di Hospital Besar Tuanku Jaafar, Seremban dengan tajuk ‘Cinta Remaja dan Kerjaya’ dan dibantu oleh suami beliau, Dr. Yusof Abbas yang merupakan pengerusi i-Medik Negeri Sembilan.  Dalam ceramah ini, Dr. Izam dan Dr. Yusof berkongsi pengalaman mereka dalam menangani masalah jiwa remaja dan cinta dan bagaimana remaja-remaja ini boleh terjebak ke kancah maksiat ini dalam usia seawal 14 tahun. Mereka mengajak semua pelajar jururawat agar menjaga akhlak dan penampilan diri mengikut syariat Islam dan menjaga batas-batas pergaulan lelaki dan perempuan mengikut landasan syariat.
Melalui program seumpama ini diharapkan para pelajar  jururawat dapat mengaplikasikan pengetahuan yang diperolehi semasa menjalankan tugas dan pengurusan keluarga. Emosi yang stabil dapat melahirkan jiwa yang tenang, seterusnya memberikan impak minda yang positif.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh pihak kolej kepada para penceramah pada jam 12.30 tengahari.








  
   

No comments:

Post a Comment