Friday 20 May 2011

Hebahan: Kursus Pra & Pasca Perkahwinan Smartstart



BUKAN KURSUS PERKAHWINAN BIASA

Assalamualaikum w.b.t kepada semua pengunjung..

Smartstart adalah kursus pra dan pasca perkahwinan kelolaan LPPKN dengan kerjasama ISMA. Kursus ini yang membincangkan hal-ehwal rumah tangga tidak hanya tertumpu untuk golongan yang belum berkahwin, tetapi skop perbincangan juga disesuaikan untuk para peserta yang telah berkahwin. Jadi ini bukan kursus perkahwinan biasa. Walaupun sijil yang dikeluarkan oleh kursus ini tidak boleh digunakan untuk urusan nikah-kahwin, ia tetap bermanfaat bagi golongan yang belum berkahwin.  Tidak rugi anda mengeluarkan sejumlah wang untuk menuntut ilmu bagi melayari bahtera rumahtangga yang diimpikan sepanjang hayat.
LPPKN sedar, dengan kadar penceraian yang semakin meningkat di kalangan umat Islam, mereka telah mengambil inisiatif ini dengan membuka peluang bagi golongan yang telah berkahwin untuk menyertai kursus ini bagi mengukuhkan lagi hubungan dan persefahaman antara pasangan.
Jangan lepaskan peluang ini! daftar segera dan bawa pulang ilmu serta cenderahati menarik dari pihak penganjur untuk rumahtangga muslim anda. Berbaloi-baloi!



PETIKAN DARI Utusan Malaysia
BANGI 14 Nov. – Kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati perkahwinan dalam tempoh 10 tahun pertama amat terdedah kepada keruntuhan rumah tangga sekiranya tiada kesabaran. 

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim; Othman Mustapha berkata, kajian Jakim pada 2008 itu mendapati, pada tempoh berkenaan perkahwinan menghadapi cabaran hebat seperti rumah tangga mudah goyah sehingga berlakunya perceraian.

Dalam pada itu, katanya, dalam kajian pada 2007 pula mendapati 32.2 peratus perkahwinan untuk tempoh lima tahun pertama mengalami perceraian.

Selain itu, katanya, 27.7 peratus perceraian berlaku untuk tempoh enam hingga 10 tahun pertama perkahwinan.

‘Kajian juga menunjukkan 44.9 peratus perceraian berpunca daripada pasangan gagal menjalankan tanggungjawab masing-masing selain masalah akhlak, kewangan, seksual dan campur tangan orang ketiga,’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Kursus Keluarga Sakinah sempena Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Musim Kedua di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Penolong Ketua Pengarang II, Kumpulan Utusan; Ahmad Abdul Hamid, Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga JAKIM; Ghafani Awang Teh, Pengarah ILIM; Paimuzi Yahya serta 200 peserta yang bakal mendirikan rumah tangga.

Othman juga memberitahu, sebanyak 135,136 perkahwinan didaftarkan pada 2009, manakala 27,116 kes perceraian pula direkodkan pada tahun berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pasangan yang bakal berkahwin supaya bersedia menghadapi tekanan seperti proses penyesuaian tingkah laku dan tabiat suami isteri.

Dalam pada itu, katanya, mereka juga harus bersedia menanggung beban tugas dengan penambahan anak, perbelanjaan membayar hutang, kenderaan, persekolahan anak, pengasuh dan bantuan kepada ibu bapa yang sudah tua.

Katanya, perlu diingat perceraian memberi kesan buruk kepada anak-anak, justeru isu-isu gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat kini adalah mereka dari keluarga kucar kacir dan tidak stabil.

Menurut Othman, rumah tangga yang kucar kacir juga mewujudkan anak-anak atau keluarga yang rendah jati diri dan lemah harga diri.

Petikan berita dari Utusan Malaysia 15 November 2010 bersamaan 8 Zulhijjah 1431H (Isnin)

-Sumber maklumat ISMA N9

No comments:

Post a Comment