Wednesday 12 December 2012

Festival Kesenian Islam NAZIM Zon Selatan Meriah!


Port Dickson, 2 Disember 2012 – Festival Kesenian Islam NAZIM Zon Selatan telah berlangsung pada 2 Disember 2012 di Dewan Sekolah Kebangsaan Telok Kemang Port Dickson. Festival yang dianjurkan oleh Biro Wanita ISMA melalui kelab NAZIM ini merupakan julung-julung kali diadakan di cawangan Port Dickson. Festival ini bertujuan untuk mencungkil bakat anak-anak dalam pelbagai aktiviti kesenian. Ia merupakan pemangkin dalam pembentukan syahsiah kanak-kanak sesuai dengan misi NAZIM  untuk menjadikan anak-anak mempunyai syahsiah yang seimbang dari segi jasmani, rohani, emosi dan intelektual.


Antara kategori yang dipertandingkan adalah nasyid, dikir barat, pidato, bercerita, hafazan dan azan. Lima cawangan di zon selatan iaitu Seremban, Kuala Pilah, Port Dickson, Melaka dan Johor telah menghantar wakil untuk berentap dalam setiap kategori yang dipertandingkan. 


Seawal  jam 8 pagi, semua peserta diiringi pengurus pasukan setiap negeri mendaftarkan diri masing-masing. Kemudian, setiap peserta dan pengurus pasukan dijamukan dengan sarapan pagi. Pada jam 9.30 pagi, acara dimulakan dengan bacaan al-Fatihah sebaik sahaja semua tetamu telah mengambil tempat dan sedikit taklimat daripada Pengerusi Majlis. Sementara menunggu taklimat hakim di bilik yang disediakan, para hadirin disajikan dengan tayangan montaj aktiviti-aktiviti NAZIM cawangan Seremban. 


Tepat jam 10.00 pagi, pertandingan dimulakan secara serentak di mana hafazan tahap 1 dan 2, hafazan terbuka, bercerita dan pidato diadakan di bilik berasingan manakala pertandingan nasyid, azan dan dikir barat diadakan di dalam dewan utama. Pertandingan di dewan dimulakan dengan acara azan dengan jumlah peserta seramai 5 orang dan diikuti dengan dikir barat yang hanya diwakili oleh kumpulan dari cawangan Seremban. Pertandingan diakhiri dengan acara nasyid untuk kategori lelaki dan perempuan. Sebanyak tiga kumpulan nasyid kategori lelaki dan dua kumpulan nasyid kategori perempuan telah mengambil bahagian.


Sementara menunggu keputusan para hakim, festival diceriakan dengan kuiz agama untuk anak-anak.  Seusai persembahan selingan tersebut, acara diteruskan dengan Majlis Perasmian Penutup Festival Kesenian Islam Nazim Zon Selatan. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh En. Syafrizan Mohamad. Kemudian, majlis diteruskan lagi dengan ucapan perasmian penutup oleh YDP ISMA cawangan Port Dickson, En. Ja’far Suradi.
Kemuncak acara seterusnya adalah penyampaian hadiah kepada para pemenang dan cenderahati kepada para hakim dan perasmi. Juara keseluruhan bagi festival ini telah disandang oleh NAZIM cawangan Seremban. Majlis diakhiri dengan persembahan dari para pemenang dan jamuan tengahari kepada semua tetamu dan peserta.

nazim pd


nazim johor



nazim melaka



nazim seremban (lelaki)



nazim seremban (perempuan)



peserta bercerita



huffaz cilik..




juara pidato lelaki..

pemidato warisan negara




juara pentandingan bercerita..





hayya ala al-solah

No comments:

Post a Comment