Monday 22 August 2011

Majlis Semaian Kasih & Berbuka Puasa bersama Ibu Tunggal dan Anak Yatim

Bandar Springhill, Lukut, 12 Ogos 2011 – Sempena Ramadhan pada tahun ini,  ISMA Port Dickson  meneruskan lagi usaha membantu masyarakat dengan menyerahkan sumbangan masyarakat kepada golongan ibu tunggal dan anak yatim dalam program Semaian Kasih. Program anjuran bersama jawatankuasa surau al-Hijrah, Bandar Springhill ini telah dihadiri oleh  11 orang ibu tunggal, seorang saudara baru dan 13  orang anak yatim.
Program Semaian Kasih ini merupakan aktiviti tahunan ISMA PD yang bertujuan untuk menggalakkan masyarakat bersedekah dan saling membantu di bulan Ramadahan penuh barakah ini. Sumbangan yang diterima dari orang ramai disalurkan terus kepada golongan yang memerlukan.
Program dimulai dengan kata-kata aluan pengerusi surau Al-Hijrah pada jam 6.30 petang dan seterusnya ucapan dari Ustaz Soberi Awang, selaku ketua ISMA cawangan PD.  Selepas itu, majlis penyerahan sumbangan diadakan iaitu barang-barang keperluan dapur kepada para ibu tunggal  dan wang tunai kepada anak yatim dan saudara baru. Terpancar wajah-wajah kegembiraan oleh para penerima sumbangan. Tibalah acara yang paling ditunggu-tunggu iaitu waktu berbuka bersama-sama.  Para tetamu dihidangkan dengan hidangan yang enak dan ditambah lagi dengan keberkatan doa-doa anak-anak yatim. Setelah itu, para tetamu mengerjakan solat Maghrib dan Isya' berjemaah dan diteruskan dengan solat sunat tarawih 8 rakaat. Majlis tamat kira-kira pada pukul 10 malam.
 Insya Allah pada masa akan datang majlis seumpama ini akan dianjurkan lagi. Diharap para ibu tunggal tetap tabah dan sabar dalam menjalani ujian dalam melayari bahtera kehidupan. Semoga jasa-jasa mereka yang ikhlas membesarkan anak-anak diberi ganjaran oleh Allah swt. 





No comments:

Post a Comment