Tuesday 8 March 2011

Sumbangan Ketua Wanita ISMA diiktiraf di KUIS





BANGI, 8 Mac – Ketua Wanita ISMA, Ustazah Norsaleha bt Mohd Salleh, 45 tahun, menerima pengiktirafan tertinggi daripada Masjid Al-Azhar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), dengan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat KUIS 2011. Majlis pengiktirafan disempurnakan oleh Dato’ Mohd Azib, selaku pengarah Majlis Agama Islam Selangor, bersempena Majlis Maulidur Rasul kali ke-4 di KUIS.
Sepanjang kerjaya beliau sebagai seorang pensyarah, beliau telah berjaya menghasilkan empat buah buku, empat buah buku teks untuk kegunaan pelajar KUIS, 10 tulisan dalam prosiding, membentang 35 kertas kerja peringkat KUIS, Nasional dan Antarabangsa dan dua penyelidkan peringkat KUIS dan UKM.
Pada tahun 2008, beliau telah berjaya memperoleh Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat KUIS dan pernah dijemput untuk menjadi panelis sempena Perhimpunan Pelajar Musim Sejuk di Australia. Antara pencapaian beliau di peringkat KUIS ialah menjadi Naqibah kepada Kumpulan Usrah Saleha KUIS yang giat melaksanakan aktiviti kemasyarakatan dengan sekolah-sekolah berdekatan dan masyarakat setempat (2009-kini), Jawatankuasa Persatuan Ahli Akademik KUIS (2008-2010), Editorial Jurnal Akademik Islam (2005-2007), panelis program kecemerlangan pelajar, panel pemeriksa kertas soalan peringkat KUIS (2006-2010), JK Penggubal Sylibus Sarjana Muda Usuluddin dengan Mutimedia (2007-2009), Setiausaha Jabatan Usuluddin (2005-2007), Timbalan Pengerusi Lajnah Khairiah (2005-2006) dan Penasihat Lajnah Usuludin.
Sementara pencapaian beliau di peringkat nasional dan antarabangsa ialah ahli panel Bengkel Sekreteriat Pemerkasaan Wanita Islam (SENADA), Ahli Panel Bengkel Memerangi Murtad, Jawatankuasa Antarabangsa International Muslimah Association and Network Alliance (IMAANA), Jawatankuasa Pertubuhan Intelektual Muslim Malaysia (PIMM) dan Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), JK PIBG SMK Jalan 3, sukarelawan Aman Palestin dan Panelis TANYALAH USTAZAH TV9.
Berkahwin dengan Abdullah Zaik bin Abdul Rahman, seorang aktivis masyarakat dan Palestin, dikurniakan cahaya mata seramai sembilan orang, empat lelaki dan lima perempuan. Kesibukan harian sebagai pelajar Ph.D, aktivis masyarakat, pendakwah dan tuntutan keluarga menjadikan beliau seorang yang cekal dan berani menghadapi cabaran. Bermottokan CABARAN ITU ADALAH PELUANG dan JAGALAH HAK-HAK ALLAH SWT NESCAYA ALLAH AKAN MENJAGA KITA, beliau meneruskan tanggungjawab dan peranannya selagi hayat dikandung badan.
Tahniah diucapkan kepada Ustazah Norsaleha di atas pencapaian dan sumbangan beliau kepada masyarakat.

Sumber : ISMA web

No comments:

Post a Comment