Wednesday, 12 December 2012

kem Al-Quran D'hatiku didik anak-anak menghafaz

Port Dickson, 22 Nov 2012 –Kelab Anak-anak Hebat (NAZIM) di bawah ISMA cawangan Port Dickson dengan kerjasama Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) Taman Intan Perdana Port  Dickson telah menganjurkan kem Al-Quran di Hatiku yang berlangsung selama 4 hari bermula 19 November 2012. Kem yang diadakan di Surau Al-Ehsaniah Taman Intan Perdana ini telah berjaya  menarik minat golongan kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun.


Penyelaras program, Ustazah Norliza Aripin berkata, seramai 51 orang kanak-kanak telah menyertai program ini yang bertujuan untuk menanam minat anak-anak kecil ini menghafaz dan mencintai Al-Quran selain menerapkan pendidikan Islam di kalangan mereka. Beliau juga berkata, program selama empat hari ini diadakan sempena cuti sekolah bagi memastikan jiwa dan masa anak-anak diisi dengan aktiviti yang bermanfaat.


Antara aktiviti sepanjang program itu ialah hafazan surah lazim, bernasyid, kisah-kisah tauladan, explorace dan tayangan multimedia. Empat orang peserta terbaik telah dipilih berdasarkan tahap hafazan terbaik dan mempunyai sahsiah yang baik disepanjang kem ini dijalankan.
ISMA cawangan Port Dickson berharap menerusi program keagamaan dapat membantu kanak-kanak membina akhlak yang baik, dan pada masa sama, memastikan mereka tidak terjebak dalam kegiatan tidak sihat.



Festival Kesenian Islam NAZIM Zon Selatan Meriah!


Port Dickson, 2 Disember 2012 – Festival Kesenian Islam NAZIM Zon Selatan telah berlangsung pada 2 Disember 2012 di Dewan Sekolah Kebangsaan Telok Kemang Port Dickson. Festival yang dianjurkan oleh Biro Wanita ISMA melalui kelab NAZIM ini merupakan julung-julung kali diadakan di cawangan Port Dickson. Festival ini bertujuan untuk mencungkil bakat anak-anak dalam pelbagai aktiviti kesenian. Ia merupakan pemangkin dalam pembentukan syahsiah kanak-kanak sesuai dengan misi NAZIM  untuk menjadikan anak-anak mempunyai syahsiah yang seimbang dari segi jasmani, rohani, emosi dan intelektual.


Antara kategori yang dipertandingkan adalah nasyid, dikir barat, pidato, bercerita, hafazan dan azan. Lima cawangan di zon selatan iaitu Seremban, Kuala Pilah, Port Dickson, Melaka dan Johor telah menghantar wakil untuk berentap dalam setiap kategori yang dipertandingkan. 


Seawal  jam 8 pagi, semua peserta diiringi pengurus pasukan setiap negeri mendaftarkan diri masing-masing. Kemudian, setiap peserta dan pengurus pasukan dijamukan dengan sarapan pagi. Pada jam 9.30 pagi, acara dimulakan dengan bacaan al-Fatihah sebaik sahaja semua tetamu telah mengambil tempat dan sedikit taklimat daripada Pengerusi Majlis. Sementara menunggu taklimat hakim di bilik yang disediakan, para hadirin disajikan dengan tayangan montaj aktiviti-aktiviti NAZIM cawangan Seremban. 


Tepat jam 10.00 pagi, pertandingan dimulakan secara serentak di mana hafazan tahap 1 dan 2, hafazan terbuka, bercerita dan pidato diadakan di bilik berasingan manakala pertandingan nasyid, azan dan dikir barat diadakan di dalam dewan utama. Pertandingan di dewan dimulakan dengan acara azan dengan jumlah peserta seramai 5 orang dan diikuti dengan dikir barat yang hanya diwakili oleh kumpulan dari cawangan Seremban. Pertandingan diakhiri dengan acara nasyid untuk kategori lelaki dan perempuan. Sebanyak tiga kumpulan nasyid kategori lelaki dan dua kumpulan nasyid kategori perempuan telah mengambil bahagian.


Sementara menunggu keputusan para hakim, festival diceriakan dengan kuiz agama untuk anak-anak.  Seusai persembahan selingan tersebut, acara diteruskan dengan Majlis Perasmian Penutup Festival Kesenian Islam Nazim Zon Selatan. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh En. Syafrizan Mohamad. Kemudian, majlis diteruskan lagi dengan ucapan perasmian penutup oleh YDP ISMA cawangan Port Dickson, En. Ja’far Suradi.
Kemuncak acara seterusnya adalah penyampaian hadiah kepada para pemenang dan cenderahati kepada para hakim dan perasmi. Juara keseluruhan bagi festival ini telah disandang oleh NAZIM cawangan Seremban. Majlis diakhiri dengan persembahan dari para pemenang dan jamuan tengahari kepada semua tetamu dan peserta.

nazim pd


nazim johor



nazim melaka



nazim seremban (lelaki)



nazim seremban (perempuan)



peserta bercerita



huffaz cilik..




juara pidato lelaki..

pemidato warisan negara




juara pentandingan bercerita..





hayya ala al-solah

Sunday, 12 August 2012

Iftar Jamaie dan Qiam NAZIM 1433h

Pejabat ISMA PD- Nazim cawangan Port Dickson telah mengadakan Majlis Iftar Jamaie dan Qiam pada 28 dan 29 Julai 2012 bersamaan 9 dan 10 Ramadhan 1433 hijrah. Program yang dihadiri kira-kira 26 orang itu dimulai dengan tadarus Al-Quran pada jam 6.45 petang. Peserta dibahagikan kepada 3 kumpulan dan bacaan disemak oleh fasi masing-masing.

Seterusnya, kira-kira jam 7.26 petang, para peserta bersama ibu bapa yang hadir berbuka bersama. Suasana riuh sebentar semasa pembahagian talam. Budaya makan bertalam ini dapat meningkatkan lagi ukhuwwah sesama peserta.

Malam diteruskan dengan solat Maghrib berjemaah dan tazkirah Maghrib. Tazkirah yang berkisarkan kelebihan bulan Ramadhan dapat menarik minat para peserta untuk terus fokus dan melupakan kesedihan ditinggal ibu dan ayah.

Solat Isyak dan tarawih yang diimamkan oleh anak-anak lelaki mengundang senyum saat berebut tika memilih surah untuk dibaca. Moreh yang meriah walaupun dengan hanya sekadar roti dan sardin. Para peserta kemudian menghafazkan surah-surah pilihan iaitu surah al-'Alaq, surah Al-Qadr, dan surah al-a'la sebelum tidur.

Jam 5 pagi, para peserta bangun dan mendirikan qiam bersama serta bersedia untuk bersahur dan bersolat Subuh berjemaah. Program tamat kira-kira jam 7.30pagi.














3 Imam Muda PD

Saturday, 21 July 2012

Eksplorace " Kami Menanti mu Ramadhan"

Taman Politeknik, 15 Julai 2012- NAZIM cawangan PD telah mengadakan eksplorace bersempena Ramadhan yang bakal menjelma.. Tema yang dipilih adalah " Kami menantimu Ramadhan".

Eksplorace ini bertujuan untuk membakar semangat anak-anak untuk menyambut bulan mulia ini. Para peserta diberi taklimat tentang perjalanan sepanjang program dan sedikit pengisian yang berkisar hal-hal dalam bulan Ramadhan. Rukun-rukun puasa, syarat sah puasa, dan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam bulan Ramadhan; contohnya Badar alKubro dan Nuzul Al-Quran.

Kira-kira jam 9.30 pagi, 28 orang peserta ini memulakan pengembaraan mereka sebanyak 4 checkpoint. Masing-masing berlari dengan sungguh bersemangat sambil mengibar bendera Ramadhan. Adik-adik yang kecil pun turut berusaha bersungguh-sungguh.

Setelah kumpulan terakhir berjaya menamatkan 'journey' mereka, para peserta bersama ibu bapa yang setia menunggu dijamu dengan sedikit jamuan. Nampak berselera sungguh anak-anak makan.

Akhir sekali, penyampaian hadiah dan saguhati buat para pemenang. terpancar jelas wajah keceriaan saat masing-masing mendapat cawan Ramadhan. "Guna masa nak minum waktu buka ye!", seloroh Ustazah Munirah selaku Ketua Biro NAZIM PD.

Insya Allah, kita pasti berjumpa di Ramadhan akan datang.








Wednesday, 13 June 2012

Al-Quran D'Hattiku siri 2

Masjid Teluk Kemang, 6,7,8 Jun - Selama 3 hari berturut-turut, NAZIM cawangan Port Dickson telah mengadakan program hafazan untuk kanak-kanak bawah 12 tahun; Al-Quran D' Hatiku. Program ini merupakan kali kedua setelah mendapat sambutan pada tahun yang lalu. ia bermula jam 9 pagi sehingga 11 pagi.




Program yang dihadiri kira-kira 50 orang peserta ini telah diadakan di Masjid Teluk Kemang. Surah-surah dalam juz amma merupakan surah yang perlu dihafal oleh peserta. mereka dibahagikan mengikut tahap bacaan masing-masing.

Program dimulakan dengan tayangan multimedia islamik dan bacaan doa. Kemudian, peserta berkumpul membentuk halaqah mengikut kumpulan yang telah diberikan. Fasi mentasmi' dan memperbetul bacaan serta hafazan huffaz cilik ini. Pelbagai ragam dan kerenah dapat dilihat.







Setelah berehat selama 30 minit, para peserta menjalankan aktiviti permainan, 'bermain sambil menghafal'. Suasana gamat dengan suara semangat mereka. Masing-masing ingin menunjukkan tahap hafalan mereka. Tahniah!




Pada hari terakhir, para peserta amat teruja dengan hadiah dan sijil masing-masing yang telah disampaikan oleh nazir Masjid Teluk Kemang itu sendiri. Majlis penutup tamat kira-kira jam 11.40 pagi.

Insya Allah, tahun hadapan aktiviti seperti ini akan diadakan lagi. 'Mendidik anak-anak yang beragenda!'



Seminar Anak Soleh Anak Cemerlang ASAC


Port Dickson-12 Mei- Seminar Anak Soleh Anak Cemerlang merupakan sebuah program yang  julung-julung kali diadakan di sini. Program hebat ini adalah anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Port Dickson dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah Port Dickson. Seminar yang bertempat di Dewan Auditorium, Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan dihadiri seramai kira-kira 280 orang peserta dari sekitar Port Dickson. 




Seminar ASAC ini mempunyai beberapa pengisian utama iaitu; penekanan kepada pendidikan agama dan sakhsiah anak-anak, pengambilan makanan yang baik lagi halal, penjagaan kesihatan fizikal dan mental seterusnya kewujudan persekitaran yang memberansangkan lagi positif.
 
Slot pertama bertajuk Kembara Sang Juara, Pra Kelahiran dan Proses Kelahiran yang disampaikan oleh Dr. Zainon Yahaya selaku Ketua Wanita ISMA Seremban dan juga Pengamal Perubatan di Klinik Amal, menekan aspek kelahiran bayi dan konsep tersebut yang termaktub dalam Al-quran.Konsep yang amat menarik dan dapat membuka minda para peserta bahawa aspek penjagaan bayi sejak dalam kandungan sangat penting.




Seterusnya, slot yang kedua, “Fahami Diriku” Psikologi Kanak-kanak Normal dan Abnormal yang telah disampaikan oleh Ustazah Razidah Adam. Beliau merupakan Penolong Mufti (Bahagian Fatwa) di Jabatan Mufti Negeri Sembilan. Slot ini memberi input kepada para ibu bapa tentang dengan bagaimana mereka  menghadapi dan memahami anak-anak mereka.




Slot terakhir dan yang paling menarik iaitu forum 'Bimbinglah Daku Ke Syurga' disampaikan oleh dua orang panel yang hebat dan lagi berpengalaman iaitu Ustaz Abdul Halim Abdullah selaku Naib Preisden ISMA dan Ustazah Nik Norsaha Nik Mohammad. Perkongsian yang menarik antaranya bagaimana mereka sebagai ibu bapa sendiri mendidik anak-anak mereka agar seimbang dunia dan akhirat. Jika ibu bapa soleh dan solehah maka dengan izin Allah s.w.t anak-anak juga akan cemerlang di dunia dan di akhirat.
Akhir kalam, mempunyai anak yang soleh lagi cemerlang merupakan impian semua ibu bapa. Anak soleh anak cemerlang (ASAC) bukan sahaja akan menyejukkan mata ibu bapa di dunia malah memberi saham yang besar dan ganjaran hebat di akhirat kelak. Insya Allah